Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) memeriksa tekanan darah dan gula pesakit, Zakaria Mohd Yunos (kanan), ketika majlis lawatan kerja Menteri Besar Johor di Daerah Kulai. FOTOMOHD AZREN JAMALUDIN
Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) memeriksa tekanan darah dan gula pesakit, Zakaria Mohd Yunos (kanan), ketika majlis lawatan kerja Menteri Besar Johor di Daerah Kulai. FOTOMOHD AZREN JAMALUDIN
Oleh Nurul Amanina Suhaini


KEDUDUKAN hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan menyusut daripada RM520.94 juta pada 2018 kepada RM222.39 juta pada 31 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Johor berjaya mengurangkan jumlah hutang sebanyak 57.1 peratus pada tahun lalu dengan nilai pengurangan sebanyak RM298.55 juta.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi perangkaan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sehingga September lalu, Johor menerima nilai kelulusan bagi projek perkilangan sebanyak RM7.7 bilion.

“Nilai ini bersamaan 13.4 peratus daripada nilai kelulusan projek perkilangan di peringkat nasional yang mana 51 peratus disumbangkan menerusi pelaburan asing, sekali gus menunjukkan Johor kekal menjadi antara destinasi pelaburan utama peringkat nasional.

“Selain itu, jumlah kutipan sebenar prestasi hasil bagi tahun berakhir 31 Disember lalu adalah RM1.93 bilion dan ia melebihi anggaran asal Belanjawan 2019 iaitu RM1.55 bilion.

“Prestasi kutipan hasil kerajaan negeri mencatatkan pencapaian sebanyak 124.60 peratus, sekali gus menjadi pencapaian hasil tertinggi negeri yang pernah dicatatkan,” katanya berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada Johor) di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, peningkatan peratusan keseluruhan prestasi hasil negeri pada tahun lalu adalah daripada pentadbiran tanah, selain daripada hasil lain.

“Walaupun prestasi hasil menunjukkan catatan yang baik, namun usaha perlu dipertingkatkan bagi menambah hasil berulang dalam menjamin kestabilan fiskal jangka panjang.

“Prestasi perbelanjaan mengurus bagi tahun berakhir 31 Disember lalu adalah 97.17 peratus dan itu menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun 2018 iaitu 95.70 peratus.

“Manakala, prestasi perbelanjaan pembangunan bagi tahun berakhir 31 Disember lalu adalah 92.07 peratus. Ia juga menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun 2018 iaitu 87.84 peratus,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, akaun hasil disatukan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember lalu yang belum diaudit, mencatatkan lebihan RM68.268 juta.

#kw hutang, Johor,

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:28 PM