JUMLAH akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta. - Gambar Ihsan PERMOD ALAN NASIONAL BERHAD
JUMLAH akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta. - Gambar Ihsan PERMOD ALAN NASIONAL BERHAD
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Seramai 10.4 juta pemegang saham dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bakal menikmati pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Ini berikutan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk dana ASB, yang merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Arifin Zakaria berkata, pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB yang sudah diagihkan sejak mula diperkenalkan pada 1990 kesemuanya sebanyak RM168.5 bilion.

"Kami bersyukur usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio kami telah membuahkan hasil positif.

"Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar. Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan.

"Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9 peratus pada 2020 kepada 8.2 peratus tahun ini.

"Ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7 peratus kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2 peratus tahun lalu.

"Alhamdulilah, pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami," katanya di pada sidang media pengumuman agihan pendapatan ASB 2021 secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Arifin berkata, kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12 bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus.

Beliau berkata, jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.

Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan tahun ini dengan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan.

"Untuk 11 bulan pertama tahun kewangan, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unitnya.

"Dalam usaha memperkukuh strategi Focus 4 tahun ini, PNB telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya, meneruskan usaha kepelbagaian ke dalam pasaran global menerusi kelas aset 3 yang berbeza, dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan," katanya.

Urus niaga ASB ditangguhkan bermula 23 Disember sehingga 2 Januari 2022 untuk urusan pengagihan dividen dan akan disambung semula pada 3 Januari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:50 AM