ROSLI  tekun menyiapkan sangkar burung yang ditempah pelanggan. FOTO Baharom Bakar
ROSLI tekun menyiapkan sangkar burung yang ditempah pelanggan. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

SEORANG lelaki memanfaatkan hobi membuat sangkar burung secara tradisional sebagai punca rezeki bagi meringankan kos sara hidup keluarga.

Rosli @ Azhar Che Mat, 57, dari Kampung Masjid Haji Kadir, di Kuala Terengganu, berkata, teknik membuat sangkar burung tanpa menggunakan peralatan moden dipelajari di Pattani, Thailand pada 2005.

Katanya, sangkar burung hanya dibuat berdasarkan tempahan daripada peminat dan bukannya untuk dibekalkan kepada peniaga.

“Harga setiap sangkar burung antara RM550 hingga RM1,800 setiap sebuah bergantung kepada saiz serta hiasan bunga ukiran.

“Dalam sebulan, saya hanya mampu menyiapkan sebanyak lima sangkar burung dan memperoleh pendapatan bersih antara RM800 hingga RM1,000 sebulan,” katanya.

ANTARA sangkar burung yang sudah siap.  FOTO Baharom Bakar
ANTARA sangkar burung yang sudah siap. FOTO Baharom Bakar

Ketika mengulas kesukaran untuk menyiapkan tempahan, Azhar berkata, cabaran utama dihadapi ketika proses menyiapkan sangkar burung bergantung kepada daya pemikiran.

“Jika fikiran bercelaru, kerja menyusun bilah dan buluh yang siap diracik untuk dijadikan jaring juga boleh patah,” katanya.

Katanya, dia juga perlu memberi sepenuh perhatian dan tumpuan ketika melakukan kerja menyirat telung belut menggunakan hanya seutas tali.

“Untuk menjadikan sangkar tahan lebih lama dan tidak mudah patah, buluh yang digunakan adalah jenis buluh duri selain rotan untuk dijadikan tapak,” katanya.

ANTARA cabaran dihadapi Rosli adalah menyiapkan perhiasan atau telung belut menggunakan seutus tali.  FOTO Baharom Bakar
ANTARA cabaran dihadapi Rosli adalah menyiapkan perhiasan atau telung belut menggunakan seutus tali. FOTO Baharom Bakar

Selain kemahiran mereka bentuk sangkar, Azhar juga menjahit sendiri kelambu dan juga manik yang dijadikan sebagai perhiasan sangkar.

“Disebabkan ketiadaan mesin larik, saya terpaksa membeli kepala sangkar daripada pembekal di negara jiran,” katanya.

Katanya, antara sangkar burung yang sering ditempah peminat ialah sarang tapak gajah dan sarang buah kemunting.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 7:45 AM