MUHAMMAD Fauzi bersama burung peliharaannya.
MUHAMMAD Fauzi bersama burung peliharaannya.
Muhamaad Razis Ismail

PADA mulanya, dia hanya seronok melihat rakan memelihara burung kakaktua sebagai haiwan peliharaan.

Bagaimanapun lama-kelamaan, dia 'teracun' dengan rakannya itu hingga membeli burung kakaktua jenis Sun Corner selepas tertarik dengan kebolehan unggas berkenaan yang mampu terbang bebas dan 'bercakap.'

Pemilik nama Muhammad Fauzi Mad Yusop itu mengakui, keunikan burung berkenaan selain bulu yang cantik, ia turut memiliki kecerdasan yang tinggi berbanding unggas lain.

"Kemudian saya mula menambah koleksi burung kakaktua dengan membeli Hahn's Macaw diikuti Rainbow Lorikeet dan paling mahal yang dimilik adalah Macaw Blue & Gold bernilai RM8,500," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Uniknya, semua burung kakaktua ini dilatih sendiri oleh Muhamaad Fauzi terbang bebas di luar.

Menurut peniaga dari Melaka itu, pada mulanya, dia tidak mengetahui bahawa burung ini perlu diajar untuk terbang.

"Apabila dibiarkan berkurung, saya lihat burung tidak gembira. Kemudian saya mendapat tahu burung ini tidak gembira kerana tidak dibawa keluar.

SUN Conure antara spesies terawal dimiliki.
SUN Conure antara spesies terawal dimiliki.

"Kemudian saya mula mendalami ilmu 'free fly' sebelum praktikkan kepada burung peliharaan," katanya.

Mengulas lanjut, semua burung kakaktua ini dilatih 'free fly' seawal usia dua minggu sebelum dilepaskan terbang bebas di luar.

"Langkah pertama adalah memastikan burung mengenali makanannya dahulu. Seperti seorang bayi, burung ini perlu disuapkan.

"Kemudian, bina hubungan dengan burung dengan selalu luangkan masa bermain dengannya sehingga ia mengenali kita sebagai pemiliknya," katanya.

Jelasnya, pemilik perlu sentiasa memanggil nama burungnya dan berikan makanan sebagai ganjaran.

"Selepas itu boleh mula melatih burung terbang di dalam rumah, sehingga kepaknya kuat sebelum latihan di luar rumah.

"Untuk permulaan, latih di kawasan lapang dengan kaki burung masih diikat dengan tali. Apabila melihat burung sudah mahir, terbangkan tanpa menggunakan tali," katanya.

Baginya, biarpun ramai yang berpendapat memelihara burung kakaktua adalah satu hobi mahal, namun ia sebenarnya memberi kepuasan yang berbeza.

MUDAH dilatih untuk ‘free fly’.
MUDAH dilatih untuk ‘free fly’.

KOMUNITI ‘free fly’ semakin berkembang.
KOMUNITI ‘free fly’ semakin berkembang.

"Melihat burung yang dijaga sejak daripada kecil dapat terbang bebas ia dapat memberi kepuasan dan menghilangkan stres pemiliknya," katanya.

Tambahnya, penjagaan burung ini juga sangat mudah namun tidak boleh diambil ringan.

"Penjagaannya tidak membabitkan kos yang tinggi sebaliknya menuntut komitmen yang tinggi daripada pemiliknya.

"Sangkar perlu sentiasa bersih untuk elakkan daripada dijangkiti penyakit selain pemiliknya perlu luangkan masa pada setiap hari bermain dengannya kerana burung ini sentiasa inginkan perhatian," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Muhammad Fauzi berhasrat untuk menjadi pembiak burung kakaktua kerana ia mendapat permintaan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:30 AM