AL-SULTAN Abdullah. FOTO BERNAMA
AL-SULTAN Abdullah. FOTO BERNAMA
Ahmad Suhael Adnan

SOKONGAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap pembangunan semula Kampung Baru, membuktikan usaha kerajaan tidak merugikan orang Melayu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menegaskan, sokongan itu, selain perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini, membuktikan dakwaan kononnya pembangunan semula Kampung Baru akan merugikan orang Melayu adalah tidak benar.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang dalam titah ucapan baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 hari ini, baginda nyatakan sokongan penuh pada usaha membangunkan Kampung Baru.
“Sekarang ini, Agong pun dah sokong, Sultan Selangor pun sudah menyatakan sokongan (pada usaha pembangunan semula Kampung Baru).

“Mana-mana pihak yang nak gunakan semangat ‘Melayu! Melayu! Melayu! (untuk tolak pembangunan Kampung Baru), saya harap tuan-tuan semua periksa fakta. Ini bukan merugikan tapi menguntungkan Melayu,” katanya selepas melancarkan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-16 di Dataran Merdeka hari ini.

Al-Sultan Abdullah hari ini menitahkan supaya Kampung Baru, yang juga ikon di Kuala Lumpur, dibangunkan serta dimajukan seiring pembangunan pesat Kuala Lumpur dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu.

Seri Paduka bertitah, baginda telah disembah maklum bahawa rancangan pembangunan semula Kampung Baru adalah untuk memperkasakan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.

Pada November tahun lalu, Sultan Sharafuddin dilaporkan memberi perkenan Kampung Baru dibangunkan semula seiring kemajuan pesat bandar raya Kuala Lumpur, namun baginda turut menekankan kepentingan susur galur sejarah Kampung Baru dipelihara.

Mengulas lanjut, Khalid yakin tempoh enam bulan cukup untuk meyakinkan penduduk Kampung Baru mengenai pembangunan semula itu, berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada mereka ketika ini.

“Setakat ini, sudah ada kira-kira tiga atau empat program pemilik tanah bertemu Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) membabitkan enam atau tujuh lot tanah yang yang terdiri daripada 50 hingga 100 orang.

“Kita dapati mereka memahami apa yang sebenarnya ingin kita lakukan dan hasil daripada itu, mereka memberikan persetujuan,” katanya.

Khalid bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pemilik tanah yang sudah menyatakan persetujuan.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan memuktamadkan rancangan pembangunan semula Kampung Baru pada Jun depan.

Setakat Januari lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi PKB dilaporkan sudah berjumpa kira-kira 50 peratus daripada 5,374 pemilik tanah di Kampung Baru dan daripada jumlah itu, 97 peratus mengatakan kesediaan menjual tanah kepada kerajaan bagi memberi jalan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Kampung Baru.

Pada 24 Oktober tahun lalu, kerajaan membuat tawaran muktamad kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula pada harga RM1,000 satu kaki persegi, iaitu RM850 secara pulangan tunai dan baki RM150 dalam bentuk pegangan saham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 7:14 PM