ANTARA penduduk Kampung Baru berarak secara aman ketika Himpunan Soladiriti Selamatkan Kampung Baru. FOTO Hafiz Sohaimi
ANTARA penduduk Kampung Baru berarak secara aman ketika Himpunan Soladiriti Selamatkan Kampung Baru. FOTO Hafiz Sohaimi
Mohd Azam Shah Yaacob


SEKRETARIAT Himpunan Pemuda dan Belia Kampung Bharu menggesa agar diwujudkan satu pasukan khas dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi berbincang untuk menyelesaikan isu pembangunan Kampung Baru.

Wakilnya, Mohamad Shahril Saleh berkata, menerusi pasukan itu, kerajaan bersama penduduk boleh berbincang bagi mencari cara terbaik menyelesaikan masalah itu susulan tentangan penduduk yang menolak konsep pembangunan bermodelkan konsep jual beli sebagaimana dibentangkan Kementeria Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Katanya, bagi mendapatkan maklum balas secara menyeluruh, pasukan itu perlu disertai wakil Kampung Baru, Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS), Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dan badan berkaitan.

“Cadangan pembangunan Kampung Baru pada masa depan sepatutnya perlu mengambil kira dua perkara, iaitu yang pertama adalah dengan memastikan kelangsungan hartanah ini kekal kepada kami (penduduk).

“Yang kedua pula dengan memahami hakikat bahawa tanah di Kampung Baru mempunyai pemilikan yang ramai sesuai usianya yang mencecah lebih 120 tahun sejak dibuka,” katanya pada sidang media program Solidariti Selamatkan Kampong Bharu di Dewan Orang Ramai Kampung Paya hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Amirhamzah Karim.

Menurut Mohamad Shahril, tuntutan dari gerakan yang mewakili penduduk Kampung Baru itu akan diserahkan kepada Dr Mahathir dalam bentuk memorandum kira-kira dua minggu lagi, selepas pihaknya selesai mendapatkan tanda tangan penduduk.

Katanya, tuntutan lain termasuklah menggesa tiga pimpinan tertinggi PKB iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkurnain Hassan; Pengarah Perancangan, Pembangunan dan Ekonomi, Fadzli Zubi serta Pengarah Perancangan Pengurusan dan Komunikasi Korporat, Roslan Mohammad, ditamatkan perkhidmatan atau ditukarkan.

“Mereka perlu meletak jawatan atau ditamatkan perkhidmatan atas kegagalan serta mewujudkan suasana tegang, tidak selesa dan panik antara penduduk Kampung Baru dengan institusi kerajaan.

“Jawatan mereka pula perlu digantikan dengan mana-mana penduduk Kampung Baru dalam perkhidmatan awam yang layak dan berkebolehan, atau lantikan kontrak jika mereka dari sektor swasta,” katanya.

Mohamad Shahril berkata, pihaknya juga akan menghantar satu memorandum khusus yang memperincikan isu Kampung Baru dalam konteks sosio budaya, politik dan kelangsungan bangsa Melayu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam himpunan berkenaan lebih 100 penduduk berarak dari pintu gerbang Kampung Baru ke Dewan Orang Ramai Kampung Paya, sebelum menghadiri program itu bersama kira-kira 600 hadirin bagi membincangkan isu dan penyelesaian pembangunan Kampung Baru.

End

From: Mohd

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 8:02 PM