KEMALANGAN maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer KM 38 ( Sungai Tong) Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu, kira-kira 7.30 pagi hari ini. FOTO IHSAN PDRM
KEMALANGAN maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer KM 38 ( Sungai Tong) Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu, kira-kira 7.30 pagi hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Seorang lelaki maut, manakala empat individu lain parah dan seorang cedera selepas terbabit kemalangan dengan empat kenderaan di Kilometer (KM) 38 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Sungai Tong di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, Abdullah Zulekipli Jusoh, 61, meninggal dunia selepas kereta Honda City dipandunya bertembung kereta BMW yang datang dari arah Kota Bharu.

Pertembungan itu turut menyebabkan perlanggaran dua lagi kereta iaitu Honda Insight dan Perodua Axia.

Ketika kejadian, Abdullah yang berasal dari Felda Belada dalam perjalanan menghantar anaknya, Mohd Hasiffudin, 13, ke sekolah.

Mohd Hasiffudin yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, parah, manakala pemandu BMW menghilangkan diri dan masih dikesan polis.

Turut parah adalah pemandu serta penumpang Honda Insight iaitu Sharifah Fauziah Zani, 40; suaminya, Mohd Muslim Mohd Yunus, 41, dan anak mereka Nur Insyirah Husna, 6, yang dari Segamat, Johor.

Sementara pemandu Perodua Axia, Mohd Alghafa Shafiee, 31, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila BMW dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal dan bertembung kenderaan mangsa.

"Honda Insight dan Perodua Axia di belakang kereta mangsa pula gagal mengelak dan berlaku perlanggaran.

"Pemandu BMW melarikan diri sejurus kemalangan dan usaha mengesan sedang dilakukan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 5:00 PM