TINJAUAN di kawasan insiden di  Kampung Memanjang, Beaufort.
TINJAUAN di kawasan insiden di Kampung Memanjang, Beaufort.

Beaufort: Van yang dirempuh kereta api penumpang ketika melintas landasan pengangkutan itu di Kampung Memanjang, dekat sini, tidak menggunakan laluan haram, tetapi menggunakan laluan sah dan berpagar serta mempunyai palang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, berdasarkan siasatan awal, laluan yang digunakan van itu digunakan oleh penduduk setempat untuk melintas landasan kereta api di kampung terbabit.

“Cuma tiada pondok pengawal dan lampu isyarat dibina di laluan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta api penumpang berhampiran Kampung Memanjang, dekat sini, kelmarin.

Pada kejadian jam 2.40 petang, tiga sekeluarga maut selepas van jenis Toyota Liteace dirempuh kereta api dari Kota Kinabalu ke Beaufort.

Kemalangan itu turut menyebabkan empat lagi penumpang van cedera dan kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Beaufort. Bagaimanapun, semua 20 penumpang kereta api tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Azmir berkata, tiga daripada empat mangsa yang menerima rawatan di Hospital Beaufort dibenarkan pulang pagi semalam.

“Tiga yang cedera dibenarkan pulang pagi semalam, namun kanak-kanak yang berusia dua tahun masih menerima rawatan di Hospital Beaufort.

“Kanak-kanak itu dijangka dibenarkan pulang, esok (hari ini),” katanya.

Mengulas mengenai kemalangan kelmarin, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur kecuaian ketika kejadian itu berlaku.

Beliau berkata, pemandu van terbabit dipercayai tidak menyedari kereta api sedang melalui lintasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:15 AM