HIASAN sempena Tahun Baru Cina SMK Pusat Bandar Puchong 1 yang tular di laman sosial. FOTO tular
HIASAN sempena Tahun Baru Cina SMK Pusat Bandar Puchong 1 yang tular di laman sosial. FOTO tular
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Pendidikan sudah mendapat penjelasan lanjut berhubung pemasangan hiasan yang dianggap keterlaluan bagi sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 seperti tular di laman sosial.

Dalam kenyataannya hari ini, kementerian memaklumkan hiasan itu sempena Tahun Baru Cina selain sekolah berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Kaligrafi Cina Selangor, Sabtu ini.

“Kementerian berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan berbangga dengan pemilihan sekolah berkenaan sebagai tuan rumah pertandingan berkenaan.

“Hiasan bagi sambutan perayaan di Malaysia adalah aktiviti tahunan yang dilaksanakan sekolah untuk menyokong Rancangan Integrasi Murid-Murid Untuk Perpaduan (RIMUP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, RIMUP menggalakkan pembabitan masyarakat setempat, guru dan murid dalam kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, pengemblengan tenaga serta kepakaran.

Katanya, kementerian sentiasa menggalakkan aktiviti yang meningkatkan pendedahan dan kefahaman terhadap kepelbagaian bangsa serta budaya yang memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.

Baru-baru ini, tular di laman sosial gambar perhiasan Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan yang dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:11 PM