PESERTA RIMUP menunjukkan hasil kerja tangan masing-masing.
PESERTA RIMUP menunjukkan hasil kerja tangan masing-masing.
Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Seramai 150 murid pelbagai kaum teruja diberi pendedahan kebudayaan dalam Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat daerah Sabak Bernam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sabak Bernam, di sini, kelmarin.

Program itu bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, guru dan murid dalam kegiatan bersama pelbagai kaum yang menekankan semangat bekerjasama serta bertoleransi.

Murid Sekolah Kebangsaan Doktor Abdul Latiff (SKDAL) Muhammad Amyroz Zaiem Rosman, 11, berkata, program itu memberi peluang mempelajari kebudayaan kaum lain di negara ini.

“Saya seronok kerana berpeluang bermain “kabaddi” yang popular dalam kalangan kaum India serta membuat Tanglong daripada kebudayaan kaum Cina yang belum pernah saya lakukan,” katanya.

Murid SJKT Ladang Sabak Bernam A Theriga,11, berkata, selain dapat bertemu rakan baru serta bertukar pengalaman kebudayaan masing-masing, program itu juga dapat membentuk semangat kerjasama.

“Walaupun susah bagi saya untuk menganyam daun ketupat namun dengan bantuan guru dan kawan saya dapat lakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pelaksana yang juga Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kokurikulum Akademik Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam (PPDSB) Omar Hamsa berkata, enam sekolah terbabit dalam program itu iaitu SKDAL, Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lum Hua dan Cheong Hua, SJKT Ladang Sabak Bernam dan Ladang Sungai Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 4:56 AM