MAHADZIR menyampaikan hadiah kepada peserta Pertandingan Tarian Integrasi.
MAHADZIR menyampaikan hadiah kepada peserta Pertandingan Tarian Integrasi.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Port Dickson : Kementerian Pendidikan akan memperluaskan lagi Rancangan Integrasi Murid Perpaduan (RIMUP) bagi memupuk nilai perpaduan sejak di bangku sekolah lagi menjelang tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, program itu perlu diperluaskan bagi melahirkan generasi yang memiliki identiti nasional dan menghormati kepelbagaian kaum di negara ini.

Beliau berkata, sehingga kini, 3,011 sekolah rendah dan menengah melaksanakan rancangan itu dan kerajaan mahu memperluaskannya.

“Dalam program RIMUP, sekolah menekankan aktiviti tarian, permainan, sukan tradisional, karnival bahasa dan debat perpaduan.

“Kami (kerajaan) mahu mempelbagaikan aktiviti bagi memastikan murid dan pelajar semua kaum saling menghormati antara satu sama lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Kem Perpaduan, Pertandingan Tarian dan Perhimpunan Perpaduan RIMUP Peringkat Kebangsaan 2015 di Dewan The Grand, Lukut, semalam.

Menurutnya, murid dan pelajar semua kaum perlu diberi peluang berinteraksi menerusi aktiviti integrasi dan perpaduan.

“Hubungan antara kaum kini dilihat kurang memuaskan. Wajarlah kerajaan membentuk semula pemupukan perpaduan menerusi pendidikan,” katanya sambil menegaskan RIMUP elemen penting bagi mengekalkan kestabilan dan tamadun dalam negara.

Katanya, negara memerlukan program holisitk berterusan dan RIMUP dilihat bersesuaian untuk pelajar kerana mereka didedahkan mengenai aspek perpaduan sejak di peringkat awal.

“Bagi memperluaskan rancangan itu, kementerian bersetuju menambah peruntukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:18 AM