ULAR sawa itu. FOTO Ihsan APM
ULAR sawa itu. FOTO Ihsan APM
Hamzah Osman


KEHADIRAN ular tedung yang berlingkar bersama paip getah mencetuskan suasana panik kepada suri rumah yang mahu menyiram pokok di rumahnya di Kampung Tanjung, Mukim Kedawang di Langkawi, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 malam, Ummi Kalsom Saidin, 56, segera meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

“Saya nak ambil paip getah di tepi rumah untuk menyiram pokok dan pada masa sama nampak ada benda bergerak-gerak dalam gulungan paip.

“Selepas diamati, rupanya benda bergerak itu ialah ular tedung dan saya pun lari dan menjerit sekuat hati,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ummi Kalsom berkata, dia percaya ular tedung keluar dari kawasan kebun pisang di belakang rumahnya untuk mencari air berikutan musim panas ketika ini.

Sementara itu, Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamsah Apearal, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.25 malam sebelum mengarahkan lima anggota ke lokasi kejadian.

“Anggota APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular tedung selar yang agak agresif itu menggunakan penjerut.

“Reptilia berbisa itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:09 AM