BOMBA melakukan demonstrasi menangkap ular. FOTO Zuliaty Zulkiffli
BOMBA melakukan demonstrasi menangkap ular. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


PANGGILAN khidmat khas menangkap ular di Langkawi, sejak awal bulan ini meningkat setiap hari, berikutan cuaca panas menyebabkan reptilia itu keluar mencari perlindungan.

Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Pegawai Bomba Kanan II Fisol Abd Kadir berkata, dalam sehari sekurang-kurangnya enam kes panggilan membabitkan ular diterima dan dijangka akan meningkat pada sekitar bulan depan hingga Mac.

Beliau berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, lebih 100 ekor ular ditangkap dalam tempoh sebulan ketika cuaca panas sekitar bulan Januari hingga penghujung Mac.

“Kebanyakan ular yang ditangkap adalah spesis tedung selar, senduk dan sawa kerana pulau ini mempunyai kawasan bukit bukau dan hutan menyebabkan ia keluar mencari perlindungan terutama di kawasan sejuk.

“Sebagai langkah persediaan, kami melakukan latihan menangkap ular bersama anggota di balai ini untuk memantapkan lagi kemahiran menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas yang ada termasuklah pencangkuk, hoop dan topi keselamatan bomba, ” katanya ketika ditemui di BBP Langkawi, semalam.

Fisol berkata, selain itu, anggotanya juga turut mempelajari cara memberi rawatan awal dipatuk ular oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) supaya anggotanya lebih cekap dan mahir.

Beliau berkata, rawatan awal itu dapat melambatkan pergerakan bisa ular dalam badan ketika mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menyelamatkan nyawa mangsa.

“Latihan dan tunjuk ajar ini dibantu anggota kami sendiri iaitu Noorizun Kechik yang mahir dalam mengendalikan kes menangkap reptilia berbisa itu.

“Ular yang ditangkap biasanya akan dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk dan ada juga ular dibawa pulang ke balai untuk demonstrasi ketika latihan menangkap ular untuk anggota kami,” katanya.

Sementara itu, Noorizun berkata, ular amat tertarik dengan benda yang bergerak dan amat sensitif dengan sebarang objek berwarna hitam dan ia akan mengikut pergerakan itu.

Katanya, sekiranya terkena patukan ular, mangsa dinasihatkan supaya tidak panik kerana bimbang bisanya akan merebak dengan cepat terutama mereka yang mempunyai masalah jantung, darah tinggi dan penyakit kronik yang boleh mengancam nyawa mereka.

“Ular biasanya gemar menyorok di tempat sejuk terutamanya dalam kasut, almari, bawah katil, bilik air dan ada juga di dalam enjin kereta.

“Ada juga kes yang kami terima banyak di kawasan pulau ini yang membabitkan ular masuk dan bersembunyi dalam hotel dan chalet untuk berlindung,” katanya.

Noorizun menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri menangkap ular terutama tedung selar kerana ia boleh mengancam nyawa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 8:51 AM