ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar yang menyorok dalam bas kilang. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar yang menyorok dalam bas kilang. FOTO ihsan APM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


PEMANDU bas kilang panik sejurus menyedari seekor ular tedung selar sedang melingkar pada pedal minyak kenderaan itu.

Pegawai operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putrajaya, Leftenan Mohd Ezwany Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Presint 2, Putrajaya jam 3.40 petang tadi.

Susulan itu tiga anggota APM diketuai Norhafizal Rosli bergegas ke lokasi bas itu untuk menangkap reptilia berbisa berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pemandu bas kilang berusia 30-an itu memaklumkan terlihat ular tedung selar ketika mahu menghidupkan enjin bas.

“Dia bergegas keluar dari dalam bas sebelum membuat panggilan kecemasan.

“Kami kemudian membuka pintu bas sebelah pemandu sebelum mengesan kedudukan ular itu yang menyorok di bawah kerusi pemandu,” katanya.

Dia berkata, usaha menangkap ular tedung itu gagal apabila reptilia agresif itu melarikan diri ke bawah tempat duduk penumpang di bahagian belakang bas.

“Ular itu kemudian keluar melalui pintu utama bas sebelum menyusup ke bahagian bawah bas. Ular itu kemudian menjalar masuk ke dalam lubang kecil dan bersembunyi di situ.

“Kami terpaksa mengetuk bahagian bawah bas itu berulang kali selama lebih 20 minit sebelum ular itu mula menampakkan dirinya,” katanya.

Menurutnya, anggota APM menggunakan alat penjerut sebelum berjaya menangkap ular sepanjang lebih dua meter itu.

“Ular itu dibawa pulang ke Ibu Pejabat APM Putrajaya dan akan dilepaskan ke habitat asal jauh dari kediaman penduduk,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai yang berdepan kes kecemasan supaya segera menghubungi pasukan penyelamat dan tidak mengambil risiko.

captionANGGOTA APM Putrajaya berjaya menangkap ular tedung selar yang bersembunyi di dalam bas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 7:57 PM