FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hasbi Sidek


WAKTU Subuh di seluruh Negeri Sembilan ditambah lapan minit daripada waktu yang digunakan sekarang, berkuat kuasa Isnin depan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, perubahan itu berdasarkan ketetapan menggunakan parameter altitud matahari 18 darjah di bawah ufuk.

"Nilai altitud matahari digunakan di Malaysia ketika ini untuk permulaan waktu Subuh adalah 20 darjah di bawah ufuk kecuali di Kelantan 19 darjah di bawah ufuk.

"Namun, kajian dijalankan dan didapati nilai altitud matahari bagi permulaan waktu Subuh di Malaysia adalah 18 darjah di bawah ufuk sejajar dengan takrifan astronomi dalam astronomi moden," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-116 pada 20 dan 21 November lalu bersetuju memutuskan permulaan waktu Subuh di Malaysia menggunakan parameter altitud 18 darjah di bawah ufuk.

"Ini menyebabkan waktu solat Subuh perlu ditambah lapan minit daripada waktu semasa. Perubahan ini akan berkuat kuasa pada 6 Januari selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

"Ia turut diperkenankan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

"Selaras dengan perubahan ini, semua masjid dan surau di seluruh Negeri Sembilan hendaklah mangalunkan azan Subuh mengikut perubahan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 8:14 PM