FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JABATAN Mufti Negeri Selangor (JMNS), hari ini, mengeluarkan jawapan kepada persoalan berhubung isu solat Subuh lewat lapan minit yang diumumkan semalam.

Kata JMNS, waktu solat Subuh di Selangor tiba-tiba dilewatkan ekoran penemuan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), beberapa universiti yang diketuai Universiti Malaya dan agensi kerajaan lain.

"Kajian mendapati waktu subuh sebenar adalah apabila matahari berada pada kedudukan 18 darjah di bawah ufuk.

“Tambahan lapan minit itu adalah nilai purata bagi perbezaan dua darjah. (daripada 20 darjah kepada 18 darjah). Satu darjah secara puratanya adalah bersamaan empat minit.

"Maka dua darjah adalah bersamaan 8 minit, " katanya menerusi hantaran yang dipaparkan di laman Facebook jabatan itu.

Menurut JMNS, ketika ini, Selangor sahaja yang diubah dan akan dilakukan oleh negeri lain bila tiba masanya.

"Pihak negeri dengan kuasa undang-undang yang ada berhak mengumumkan keputusan di peringkat negeri masing-masing, " katanya.

Jelas JMNS lagi, tidak seharusnya timbul soal sah atau tidak solat Subuh yang selama ini didirikan lapan minit awal dari waktu baharu itu kerana ia adalah berdasarkan kepada ijtihad dan ilmu yang sah dan disahkan secara rasmi melalui JMNS.

“Waktu solat walaupun hadnya adalah sabit secara qatie, penentuan dan perinciannya adalah zanni dan tertakluk kepada ijtihad semasa berdasarkan penyelidikan atau istiqra'," katanya. Sementara itu, JMNS berkata, bagi negeri yang bersempadan dengan Selangor seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan sebagainya, penduduknya perlu patuh kepada arahan Ulul Amri masing-masing iaitu Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Katanya, selagi tiada arahan baharu dikeluarkan, waktu sedia ada adalah sah diikuti kerana urusan agama ditentukan oleh pihak Ulul Amri, rakyat hanya ikut dan taat setia.

“Perubahan waktu solat Subuh itu bagaimanapun tidak membabitkan waktu lain kerana keputusan berkenaan khusus membabitkan solat Subuh sahaja.

“Cuma bagi waktu imsak, ia juga dilewatkan iaitu 10 minit sebelum bermula Subuh, manakala waktu Syuruk iaitu waktu berakhirnya Subuh atau terbit matahari kekal sebagaimana yang ada dalam takwim solat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 3:08 PM