GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana berang tidak menyediakan makanan, seorang suami tergamak membelasah isterinya dengan getah paip, selain mengugut ingin membunuhnya dengan pisau di kediaman mereka di Batu Caves, Gombak, Rabu lalu.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki berusia 50-an itu mengamuk apabila isterinya, 52, tidak menyediakan sarapan.

Menurut sumber, suspek yang gagal mengawal kemarahan turut bertindak mengambil getah paip dan terus memukul mangsa tanpa mempedulikan wanita terbabit mengerang kesakitan.

“Tidak cukup dengan itu suspek turut mengambil pisau di dapur dan mengugut ingin menikam dan membunuh isterinya.

“Bagaimanapun mangsa yang ketakutan melarikan diri keluar dari rumah itu sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami lebam dan calar selepas dibelasah suspek.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:19 PM