Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Hanafis Abdul Haris

Ampang: Seorang pembekal barang kemas berusia 40-an kerugian lebih RM1.2 juta apabila berlian miliknya dilarikan empat lelaki bermotosikal yang bersenjatakan parang di depan sebuah restoran di Hulu Kelang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa dan pekerjanya berusia 31 tahun dalam perjalanan ke pejabat mereka dikatakan berhenti di restoran berkenaan untuk membeli sarapan sebelum disamun kumpulan terbabit.

Menurut sumber, selain kehilangan berlian bernilai jutaan ringgit itu, mangsa juga cedera di lutut kanan akibat ditetak seorang daripada empat suspek ketika pembekal barang kemas itu cuba menyelamatkan berlian miliknya.

Sumber itu berkata, mangsa dan pekerjanya yang menaiki kereta Mitshubishi Lancer berwarna hitam berhenti di restoran berkenaan yang tidak jauh dari pejabat mereka untuk membeli sarapan.

“Sebaik memberhentikan kenderaan, mereka dihampiri empat lelaki bersenjatakan parang. Kumpulan terbabit dilapor meletakkan parang di leher mangsa dan pekerjanya sebelum mengugut mereka menyerahkan barangan berharga.

“Seorang daripada suspek cuba merampas beg mengandungi berlian menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek,” katanya.

Sumber itu berkata, berang dengan tindakan mangsa yang melawan, suspek menetak lutut kanan mangsa menyebabkan pembekal barang kemas itu melepaskan beg dipegangnya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit meninggalkan kawasan itu dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z.

“Mangsa dan pekerjanya dilapor gagal mengecam wajah semua suspek kerana mereka lengkap memakai topi keledar,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan sebelum pekerjanya membuat laporan di Pondok Polis HKL. Kes berkenaan dirujuk semula ke Balai Polis Hulu Kelang untuk siasatan lanjut.

Sumber itu berkata, polis yang menerima laporan itu kembali ke lokasi kejadian sebelum memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:38 AM