POLIS mengawal perkarangan pintu masuk bangunan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Kajang, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
POLIS mengawal perkarangan pintu masuk bangunan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Kajang, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Amin Jalil


IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berpendirian bahawa sebarang polemik berkaitan isu tulisan Jawi perlu dibawa ke meja perundingan dan dialog permuafakatan antara pihak pro, kontra dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, semua pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu akur dan menghormati kedudukan tulisan Jawi.

“Tulisan Jawi adalah warisan dan entiti kebangsaan negara ini yang perlu dipelihara.

“Sebarang polemik berkaitan tulisan itu perlu dibawa ke meja perundingan dan dialog permuafakatan bagi memastikan kepentingan dan keharmonian negara tidak terjejas.

“Kepentingan nasional perlu diutamakan berbanding kepentingan parti politik,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

Mohd Azizee berkata, pihaknya menyambut baik langkah pihak berkuasa membatalkan perhimpunan persidangan oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang dijadual berlangsung di Kajang, Selangor, hari ini.

Katanya, arahan pembatalan yang dikeluarkan mahkamah itu adalah langkah tepat demi keharmonian kaum dan mengelak provokasi yang mengundang kekacauan serta boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Tindakan pihak berkuasa mengeluarkan perintah pembatalan perhimpunan itu selaras dengan tindakan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum ini yang membatalkan langkah parti Gerakan untuk menghalang pengenalan tulisan jawi di dalam Buku Teks Tahun 4 tahun 2019.

“IGuru akan terus berjuang mempertahankan kepentingan Bahasa Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan sekali gus menjunjung tulisan Jawi sebagai identiti bangsa dan aksara negara,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Dong Zong mengesahkan pihaknya sudah menerima perintah mahkamah daripada pihak polis berhubung pembatalan persidangan.

Polis mendapat perintah mahkamah supaya Dong Zong tidak meneruskan persidangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 12:37 PM