GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


GABUNGAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam Bangkit menangguhkan Himpunan Pertahan Jawi yang sepatutnya diadakan di Stadium Kajang, esok.

Wakil Gabungan NGO Melayu Islam Bangkit, Masridzi Sat berkata, perhimpunan terbabit tidak dapat dilakukan atas nasihat daripada polis.

“Himpunan berkenaan esok akan ditangguhkan hingga suatu masa sesuai nanti. Segala info terkini akan dimaklumkan semula.

“Saya selaku wakil pihak penganjur (himpunan berkenaan) memohon maaf atas perubahan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masridzi berkata, usaha perjuangan NGO Melayu Islam yang bangkit membuat laporan polis terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membuahkan hasil apabila persidangan pihak berkenaan dibatalkan atas perintah mahkamah.

“Laporan polis serta persiapan ribuan sahabat semua (NGO) bagi Himpunan Pertahan Tulisan Jawi berjaya mendesak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membatalkan Himpunan Kongres Persidangan Dong Zong, esok.

“Difahamkan serahan notis perintah mahkamah itu diserahkan pihak polis kepada Dong zong kira-kira 5.00 petang tadi,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis mendapat perintah mahkamah supaya Dong Zong tidak meneruskan persidangan itu yang dijadualkan berlangsung di Kolej Universiti New Era, Kajang, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 8:26 PM