Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GERAKAN Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) yang mewakili lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) memberi amaran akan berhimpun secara besar-besaran jika bantahan tulisan jawi oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diteruskan.

Timbalan Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, selepas persidangan bersama lebih 100 NGO yang lain semalam, pihaknya memutuskan akan mengadakan kongres rakyat dan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur.

“Sekiranya Dong Zong masih meneruskan bantahan terhadap tulisan jawi, satu himpunan yang lebih besar dari Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Petang ini kita akan mengada satu lagi mesyuarat bagi membuat keputusan apakah langkah seterusnya yang perlu diambil untuk memastikan Dong Zong dan pihak lain jangan cuba lagi menaikkan isu sensitif kerana isu ini yang mengajak rakyat menentang undang-undang di negara kita,” katanya.

Mohd Zai berkata, pihaknya juga sudah membuat keputusan bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar akan mengetuai himpunan berkenaan.

ANGGOTA polis mengawal luar perkarangan pintu masuk bangunan Dong Zong. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis mengawal luar perkarangan pintu masuk bangunan Dong Zong. FOTO Aizuddin Saad

“Dalam sidang perbincangan yang dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) semalam kita sudah bersetuju bahawa Tun Haniff Omar akan mengetuai gerakan rakyat.

“Kita juga sudah membuat kerjasama bersama dengan NGO lain bagi meneruskan bantahan terhadap tindakan Dong Zong sekiranya mereka terus membantah tulisan jawi ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro sejak jam 7.30 pagi di tiga lokasi yang sepatutnya diadakan dua kongres berasingan mendapati suasana tenang.

Kira-kira 100 anggota polis ditugaskan membuat kawalan di Kolej New Era dan pejabat Dong Zong bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Di Stadium Kajang, kira-kira 100 anggota polis ditugaskan mengawal kawasan sekitar stadium berkenaan, ketika ini orang awam diminta untuk tidak berkumpul di kawasan terbabit.

Terdahulu, polis mendapat perintah mahkamah melarang Dong Zong meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi di Kolej New Era.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, permohonan bagi mendapatkan perintah itu dibuat pada 3 petang semalam sebelum diserahkan kepada Dong Zong.

Susulan itu, Gabungan NGO Melayu Islam Bangkit menangguhkan Himpunan Pertahan Jawi yang sepatutnya diadakan di Stadium Kajang, hari ini.

Wakil Gabungan NGO Melayu Islam Bangkit, Masridzi Sat dilaporkan berkata, perhimpunan terbabit tidak dapat dilakukan atas nasihat daripada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 12:14 PM