DUA ekor rusa dan dua ekor pelanduk dipercayai hasil pemburuan haram di Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu. FOTO Ihsan POLIS
DUA ekor rusa dan dua ekor pelanduk dipercayai hasil pemburuan haram di Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu. FOTO Ihsan POLIS
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG lelaki yang terbabit dalam kegiatan memburu haram di Hutan Simpan Ulu Segama ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.

Sebelum penahanan itu, lelaki berusia 32 tahun terbabit bersama tiga lagi rakannya melarikan diri ketika cuba ditahan dalam Op Khazanah yang dijalankan di hutan simpan, kira-kira 12 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika operasi berjalan, anggota bertugas dalam ops itu terserempak kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek bersama rakannya dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pasukan keselamatan bertindak mendekati kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan, namun mereka memecut kenderaan dan melarikan diri.

“Sebaik tiba di sebuah kawasan ladang kelapa sawit, kenderaan itu berjaya ditemui semula, namun tiada sesiapa berada dalam kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut pada kenderaan itu menemui dua rusa dan dua pelanduk yang sudah mati dipercayai hasil pemburuan haram,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Nasri berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu kemudiannya menemui sebuah beg yang didalamnya berisi dokumen seperti kad pengenalan dan lesen memandu atas nama.

“Justeru, polis menghubungi suspek dan meminta lelaki itu hadir ke IPD Lahad Datu dan selepas memberikan keterangan suspek ditahan lanjut untuk membantu siasatan.

“Tiga lagi lelaki disyaki rakan suspek masih diburu. Kenderaan bersama barangan rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 4:26 PM