ANTARA objek milik pemburu haram ditemui sepanjang Ops Khazanah di Tabin, Lahad Datu. FOTO IHSAN JHL SABAH
ANTARA objek milik pemburu haram ditemui sepanjang Ops Khazanah di Tabin, Lahad Datu. FOTO IHSAN JHL SABAH
Suzianah Jiffar


OPS Khazanah Bersama yang dijalankan selama seminggu, mendapati kawasan Tabin yang menjadi habitat hidupan liar di negara ini menjadi sasaran pemburu haram.

Operasi berakhir semalam menunjukkan aktiviti haram berkaitan pemburuan dan perdagangan hidupan liar aktif di kawasan itu termasuk di Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.

Dalam operasi bermula 19 November lalu menemui 62 jerat selain 51 kelongsong peluru dan senjata api rosak.

Turut ditemui lima tanduk rusa dan banteng serta beberapa rangka gajah selain tangkapan turut dilakukan di sebuah kedai dalam ladang kerana memiliki 22 burung tanpa permit.

Operasi membabitkan 69 individu antara Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan WWF-Malaysia.

Mereka dibahagikan kepada lima pasukan dan berada di lokasi berbeza di Tabin dalam usaha mencari pemburu haram dan memerangi jenayah hidupan liar.

Pada majlis penutupan operasi, Pegawai Pemerintah PGA, Superintendan Toipi Lamat, berkata operasi ini antaranya adalah untuk membanteras pemburu haram.

“Selain itu, kerjasama ini juga antara kaedah merapatkan jurang antara agensi di negeri ini,” katanya.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, kerjasama ini sebagai permulaan untuk satu cara baharu dalam memerangi jenayah hidupan liar di negeri ini.

“Lebih banyak rondaan bersama akan dilaksanakan hasil kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata, tanggungjawab menjaga hutan bukan hanya tugas pihaknya sahaja.

“Tetapi ia adalah kerjasama semua agensi termasuk sokongan orang ramai,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan wakilnya, Donarus Loisang.

Katanya, walaupun Ops Khazanah berakhir minggu lalu, tetapi Pasukan PROTECT iaitu sebuah pasukan khas di bawah Jabatan Perhutanan Sabah akan terus meronda di sempadan Tabin dan hutan lain di Sabah.

Dalam pada itu, Ketua Pemuliharaan WWF Malaysia, Dr Rebecca Jumin, berharap kerjasama itu dapat menangani jenayah hidupan liar di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 5:18 PM