ANGGOTA polis  membawa dua lelaki yang dituduh terbabit dalam kes culik  di Kompleks Mahkamah Kuantan, semalam.
ANGGOTA polis membawa dua lelaki yang dituduh terbabit dalam kes culik di Kompleks Mahkamah Kuantan, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan menculik seorang pengarah eksekutif bergelar Datuk dan meminta wang tebusan berjumlah RM19 juta dua tahun lalu.

Tertuduh Lim Sun Chye, 45, dari Kemaman, Terengganu dan Ang Boon Leong, 40, dari Kepong, Kuala Lumpur, mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka di depan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama tiga individu lain yang masih bebas dengan niat bersama bagi mendapatkan wang tebusan, menahan Datuk Chin Yoke Choon, 53, dengan melarikan serta mengurungnya secara salah.

Mereka melakukan kesalahan itu pada jam 5.55 petang, 26 Disember 2015 di tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Indera Mahkota, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Md Kamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Asyraf kemudian memohon kes itu dibawa ke tarikh 28 Februari ini untuk sebutan semula, iaitu tarikh sama bagi sebutan semula empat lagi tertuduh yang sudah didakwa atas pertuduhan berkenaan sebelum ini.

Sementara itu, Sun Chye turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 1, di sini, dan mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu Geng William pada Julai 2015 sehingga Februari ini.

Kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Unaizah Mohd dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Sun Chye pada mulanya kelihatan tercengang apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu sebelum memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan itu.

Khidmat jurubahasa bahasa Mandarin digunakan dan tertuduh minta dibicarakan atas pertuduhan itu selepas mengangguk faham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 7:22 AM