MOHAMMAD Zaheer dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah menjadi ahli Geng Otong. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MOHAMMAD Zaheer dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah menjadi ahli Geng Otong. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang tekong darat dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran Geng Otong, antara Januari 2015 sehingga Jun 2020.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Zaheer Ali, 34, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang dikenali Geng Otong di Kota Tinggi antara 1 Januari 2015 sehingga 4 Jun 2020

Pertuduhan ke atas tertuduh itu dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faris Ab Jalil manakala tertuduh diwakili peguam Muzammil Hariri.

Dalam hujah rayuan, Muzammil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kerana ia kesalahan pertama dan tertuduh layak diberi peluang kedua selain tindakan mengaku salah hari ini telah memendekkan proses prosiding mahkamah.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Jun 2020.

Kumpulan jenayah ini diketuai oleh seorang lelaki warga negara Indonesia dikenali sebagai Otong.

Pada 4 Jun 2020, tertuduh iaitu Mohammad Zaheer ditahan polis kira-kira jam 6 petang di sebuah rumah di Batu 14 Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Oppo Reno dan hasil siasatan mendapati tertuduh terbabit secara langsung yang bertindak sebagai tekong darat kumpulan Geng Otong yang mengatur perjalanan bot berlepas dan mengarahkan 'transporter' untuk mengambil mana-mana PATI untuk dihantar ke transit atau rumah penampungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 1:56 PM