ANTARA sampel jentik-jentik yang diperoleh di tapak binaan Media City, hari ini. FOTO NSTP.
ANTARA sampel jentik-jentik yang diperoleh di tapak binaan Media City, hari ini. FOTO NSTP.
Mohd Hilmie Hussin


SEKURANG-KURANGNYA 20 lokasi pembiakan Aedes ditemui di tapak pembinaan Media City di Kuala Lumpur yang memaksa kerja pembinaan dihentikan 14 hari mulai esok.

Arahan itu dikeluarkan susulan pemeriksaan di tapak projek oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) dalam operasi Op Tapak, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Datin Dr Noor Akma Shabuddin berkata, sebelum ini pihaknya mencuba beberapa kali untuk memeriksa tapak projek itu tetapi tidak dibenarkan.

“Kali ini kita lancar operasi besar-besaran dan meskipun tidak menyeluruh tetapi kita sudah menjumpai 20 tempat pembiakan, (dan) cukup untuk mengeluarkan notis menutup tapak dan menghentikan kerja binaan sehingga arahan pembersihan dipatuhi.

“Tempat pembiakan nyamuk ditemui membabitkan lopak dan salur air. Biarpun kerja kawalan serangga dilakukan, tetapi pemeriksaan kita mendapati, ia tidak mencukupi,” katanya.

Beliau ditemui selepas pemeriksaan di tapak binaan yang membabitkan dua kawasan binaan iaitu bangunan pentadbiran dan masing-masing satu kawasan di menara, editorial dan tempat letak kenderaan.

Noor Akma berkata, wakil pemaju memberi kerjasama baik dan berjanji untuk melakukan kawalan serangga dengan lebih baik mengikut kaedah yang ditetapkan.

Menurutnya, tapak binaan itu diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Seksyen 8(3)(aa) akta sama.

Katanya, jika ingkar pemaju boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit melakukan kesalahan pertama, boleh didenda RM10,000.

Sementara itu, Pengarah Projek Media City Development Sdn Bhd, Ir Walter Yap berkata, pihaknya akan berbincang dengan pasukan yang dilantik melakukan kawalan serangga untuk tindakan segera mulai hari ini.

Sehingga 1 Disember lalu, 12,477 kes denggi dilaporkan di seluruh negara membabitkan 174 kematian berbanding tahun lalu, 75,612 kes dengan 135 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 5:24 PM