ANGGOTA KKM membuat pemeriksaan ke tapak pembinaan.
ANGGOTA KKM membuat pemeriksaan ke tapak pembinaan.
HM Digital

Kuala Lumpur: Seramai 21 pengarah tapak binaan akan didakwa di mahkamah kerana didapati membiarkan berlaku pembiakan serangga pembawa penyakit di premis tapak binaan masing-masing.

Kesalahan itu dikesan menerusi penguatkuasaan Ops Tapak Binaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijalankan ke atas 978 premis tapak binaan di seluruh negara pada 13 dan 14 Mac lalu.

Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan pemeriksaan dijalankan menerusi operasi itu sebanyak 130 tapak binaan dikesan melakukan kesalahan terbabit.

“Susulan itu, seramai 21 pengarah syarikat tapak binaan akan didakwa di mahkamah manakala sebanyak 127 notis kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat apabila proses permohonan izin kompaun diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Notis kerja pembersihan di bawah Seksyen 8(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 turut dikeluarkan kepada 65 premis yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 18 premis tapak binaan diberi arahan penutupan mengikut Seksyen 8(3)(aa) akta sama bagi memastikan mereka menjalankan aktiviti pencegahan dan pembersihan khususnya tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Tujuan operasi dijalankan adalah untuk mengurangkan kes demam denggi yang disebabkan nyamuk aedes dalam kalangan masyarakat.

“KKM sentiasa optimis melaksanakan operasi penguatkuasaan APSPP 1975 secara berterusan bagi membendung peningkatan kes deman denggi selain mengurangkan risiko jangkitannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 6:17 AM