Rosyahaida Abdullah


PEMEGANG konsesi bagi projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) akan meneruskan langkah sewajarnya dalam usaha mengekang penularan penyakit malaria yang menjangkiti pekerja di tapak pembinaannya di Ampang di sini, baru-baru ini.

Pada kenyataan, PROLINTAS memaklumkan, pemeriksaan kesihatan secara berterusan terhadap semua pekerja asing di tapak pembinaannya sudah dilaksanakan bagi memastikan kesihatan kumpulan itu berada dalam keadaan baik.

Malah, kesemua pekerja sudah dibekalkan dengan beberapa peralatan pencegahan penyakit malaria seperti krim penghalang nyamuk yang mengandungi diethytoluamide dan kelambu berubat.

"Beberapa inisiatif diteruskan pihak SUKE bagi membanteras penyakit ini, antaranya tindakan pembersihan yang dilaksanakan di penempatan pekerja dan tapak pembinaan.

"Dalam hal ini, tindakan perobohan turut diambil membabitkan penempatan sementara pekerja sebelum melakukan pembinaan semula penempatan yang lebih tersusun bagi memastikan kebersihan sekeliling terpelihara," katanya hari ini.

Tinjauan di sepanjang projek Prolintas pembinaan SUKE masih terdapat takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Tinjauan di sepanjang projek Prolintas pembinaan SUKE masih terdapat takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes. FOTO MUSTAFFA KAMAL

Menurut kenyataan, PROLINTAS juga melakukan penyemburan cecair bagi tujuan kawalan vektor selain melantik operator kawalan serangga (PCO) yang berdaftar dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi aktiviti semburan kabus (fogging) secara berkala.

"Pada masa sama, PROLINTAS melantik warden bagi mengawal pergerakan pekerja yang dihadkan bermula jam 9 malam hingga jam 6 pagi dan pemantauan di setiap pintu masuk tapak binaan.

"Senarai pekerja di tapak binaan juga dikemaskini bagi tujuan pemantauan.

"Selain itu, pengedaran maklumat berhubung bahaya penyakit malaria serta kesedaran mengenai tindakan pencegahan turut dibuat kepada pekerja binaan dan penduduk sekitar," katanya.

Menurut kenyataan, PROLINTAS sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi mengekang penyakit itu daripada terus merebak dan komited memastikan keselamatan di tapak pembinaan demi menyokong usaha kerajaan untuk kesejahteraan awam.

KKM semalam memaklumkan, 14 kes malaria direkodkan termasuk satu kes membabitkan seorang warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan Jajaran CB1, projek Lebuhraya Bertingkat SUKE di Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:41 PM