HABIBI (tiga kiri) menunjukkan mesin gerudi dan beberapa alat curi kenderaan yang dirampas dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
HABIBI (tiga kiri) menunjukkan mesin gerudi dan beberapa alat curi kenderaan yang dirampas dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


MENYASARKAN pacuan empat roda dan menebuk alat kunci menghidupkan kenderaan menggunakan mesin gerudi sebelum melarikan kenderaan berkenaan.

Itu modus operandi (MO) kumpulan penjenayah curi kenderaan pacuan empat roda dikenali sebagai Geng Gerudi berikutan penahanan tujuh lelaki.

Semua suspek, termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai Gay ditahan dalam beberapa siri operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejayaan itu bermula apabila polis menahan tiga ahli selepas menerima laporan kenderaan Toyota Hilux yang diparkir dekat Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 28 Februari lalu hilang dipercayai dicuri.

“Hasil soal siasat membawa kepada beberapa siri serbuan dan menahan empat lagi ahli kumpulan berkenaan di sekitar bandar raya ini, pada 29 Februari dan 2 Mac lalu.

“Kejayaan itu membawa kepada rampasan pelbagai alat curi kenderaan termasuk tiga kenderaan dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM200,000,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan ini bergiat aktif curi kenderaan dengan menyasarkan kenderaan pacuan empat roda sejak sebulan yang lalu.

“Modus operandi kumpulan ini mencari tempat letak kenderaan terbuka ataupun kenderaan yang parkir di tepi jalan sebagai sasaran mencuri kereta.

“Hasil soal siasat mendapati ketua kumpulan dikenali Gay berperanan sebagai pencuri kereta dengan cara menebuk alat kunci menghidupkan kenderaan menggunakan mesin gerudi.

“Selepas itu, cukai kenderaan dicetak oleh seorang lagi suspek yang juga bekas pekerja sebuah syarikat perkhidmatan pos,” katanya.

Menurutnya, beberapa suspek lagi bertindak sebagai ejen untuk menyerah kepada orang tengah dikenali sebagai ‘Napang’ dan dia akan menjual kenderaan berkenaan di kawasan pedalaman Sarawak.

“Polis sedang giat mengesan suspek Napang ini dan setiap kenderaan ini dijual pada harga RM30,000.

“Dengan tertangkapnya semua suspek ini polis percaya dapat menyelesaikan empat kes curi kenderaan yang berlaku sekitar Kota Kinabalu.

“Tiga daripada tujuh suspek ini mempunyai kes lampau termasuk ketua kumpulan Gay. Semua suspek berusia antara 27 hingga 38 tahun kini direman sehingga 12 Mac ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 5:24 PM