GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Akmar Samudin

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Skim Kafalah Muzakki atau Sumbangan Khairat Kematian yang bertujuan meringankan beban waris sekiranya berlaku kematian terhadap pembayar zakat.

Orang ramai hanya perlu membayar zakat RM50 untuk menerima sumbangan khairat sebanyak RM3,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, sumbangan itu adalah tanda ingatan kepada pembayar zakat.

“Sesiapa saja yang membayar zakat melalui dalam talian, potongan gaji atau datang sendiri ke kaunter bayaran, layak terima wang khairat itu.

“Skim ini diperkenalkan pada Januari lalu dan sehingga Oktober ini, 42 pewaris sudah menerimanya. Wang sumbangan itu diterima waris dalam masa 14 hari bekerja.

“Untuk tahun ini, PPZ-MAIWP menyediakan skim ini untuk 100 pewaris,” katanya yang ditemui pada Program Komuniti Imarah Masjid di Masjid Saidina Othman ibn Affan di Cheras, hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid JAWI, Datuk Mohd Fadzil Abu Kasim.

Beliau berkata, skim itu memberi lonjakan kepada orang ramai untuk membayar zakat dengan pembayar baru sehingga September 2018 seramai 24,892 orang.

“Sehingga September tahun ini pula, pembayar zakat baru berjumlah 37,120 orang. Ini menunjukkan kenaikan sebanyak 40 peratus di Wilayah Persekutuan saja.

“Kami berharap tahun depan akan mencapai sasaran seramai 200,000 orang pembayar zakat baru,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan barangan keperluan harian seperti beras dan gula kepada 20 asnaf kepada khariah masjid terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 3:28 PM