Kesemua nelayan Vietnam yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini kerana menangkap ikan di perairan negara menggunakan pukat tunda dan membuang pukat ke laut. Foto Ihsan APMM
Kesemua nelayan Vietnam yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini kerana menangkap ikan di perairan negara menggunakan pukat tunda dan membuang pukat ke laut. Foto Ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply

DUA puluh awak-awak Vietnam termasuk seorang warga emas didenda sebanyak RM1.08 juta oleh Mahkamah Sesyen Kemaman di Chukai hari ini kerana menangkap ikan di perairan negara menggunakan dua bot pukat tunda dan membuang pukat ke laut bagi menghapuskan bukti.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas kesemua tertuduh berusia antara 23 hingga 67 tahun didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan Seksyen 29 akta yang sama.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Azman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 terhadap 20 awak-awak atau enam bulan penjara sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, empat awak-awak yang berada dalam vesel KG90762 TS turut didenda RM20,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan kerana membuang pukat ke laut bagi tujuan menghapuskan bukti.

Mahkamah turut memerintahkan dua vesel, peralatan komunikasi dan navigasi serta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut sebanyak 3.8 tan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap dua tekong masing-masing berusia 31 dan 54 tahun kerana gagal hadir ke mahkamah selepas dibebaskan dengan jaminan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menangkap ikan secara bersama menggunakan pukat tunda di atas dua vesel penangkapan ikan pada jarak 95.5 dan 98.8 batu nautika dari Pulau Tenggol, Dungun pada 5.05 petang dan 5.40 petang, 24 September lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala semua tertuduh diwakili Suhaimi Ismail daripada Tetuan Zainab Derahman & Suzana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 6:46 PM