Yap Hock Joo. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Yap Hock Joo. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang nelayan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen 3 Ayer Keroh, hari ini, atas dakwaan tidak mengusahakan sendiri vesel penangkapan ikan dan menukar kuasa kuda enjin vesel tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan, tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Hock Joo, 56, yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Dalam penghakimannya beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda selain wang RM150 hasil lelongan ikan yang disita dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan supaya lesen vesel dan peralatan menangkap ikan tertuduh dibatalkan mengikut peruntukan subseksyen 33(1) Akta Perikanan 1985 [Akta 317].

Yap didakwa tidak mengusahakan sendiri vesel penangkapan ikan tempatan bernombor NSS 1026 miliknya ketika ditahan di kedudukan sekitar 1.3 batu nautika dari Tanjung Beruas pada 24 Januari 2022, kira-kira jam 1 tengah hari.

Dia didakwa melanggar syarat dalam lesen vesel iaitu 'vesel hendaklah diusahakan sendiri oleh empunya vesel' dan melakukan kesalahan di bawah perenggan 8(b) Akta 317.

Bagi pertuduhan kedua, Yap didakwa mengikut perenggan 14(2)(a) Akta sama kerana menukar kuasa kuda vesel terbabit tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia pada tarikh, masa dan di tempat yang sama.

Hukuman dikenakan mengikut subseksyen 25(b) Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta, vesel berkenaan ditahan oleh sepasukan lima pegawai dan anggota dari Markas Taktikal Polis Marin Melaka menerusi Op Gelora dan terdapat seorang tekong dan dua awak-awak berusia 35 hingga 42 tahun di atasnya.

Tertuduh turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau iaitu tidak mengusahakan sendiri vesel dan menukar enjin vesel miliknya tanpa kebenaran Ketua Pengarah.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perikanan Malaysia, Abdul Halim Jaffar berhujah supaya denda maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan berulang dilakukan dan sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana kepentingan awam adalah lebih utama.

Peguam Iwana Sakinah Mohd Lajis dan Philip Yeow bagaimanapun merayu denda ringan mengambil kira pengakuan salah tertuduh menjimatkan kos mahkamah selain pendapatannya tidak menentu dan perlu menanggung isteri tidak berkerja dan tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 9:48 PM