Tekong dan enam awak-awak warga Vietnam didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini. Foto oleh Zatul Iffah Zolkiply
Tekong dan enam awak-awak warga Vietnam didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini. Foto oleh Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN tekong dan enam awak-awak warga Vietnam menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan membawa padah apabila masing-masing didenda RM300,000 dan RM30,000 di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini.

Tekong, Nguyen Thai Dan, 27, turut berdepan hukuman penjara dua tahun manakala awak-awaknya berusia antara 23 hingga 54 tahun pula berdepan hukuman penjara satu tahun sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) yang dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan Seksyen 52 (1)(a)(ii) akta sama.

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000 dilucutkan kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba menangkap ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian perikanan antarabangsa dan tanpa suatu permit sah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia mengikut Seksyen 19 Akta Perikanan 1985.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 67.8 batu nautika dari Kuala Kemaman, Kemaman, jam 9.15 pagi pada 2 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Ibu Pejabat Wilayah Maritim Timur, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 4:23 PM