Banjir mula melanda Sarawak terutama di Kuching. FOTO NSTP
Banjir mula melanda Sarawak terutama di Kuching. FOTO NSTP
Muhd Amirul Faiz Ahmad


BANJIR kini mula melanda Kuching membabitkan 51 mangsa daripada 12 keluarga di daerah Lundu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, dua pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak, Lundu pada 8 pagi dan 12 tengah hari tadi.

“Dua perkampungan, Kampung Sebat Melayu dan Kampung Sebat Baru, dilanda banjir awal pagi tadi dan usaha pemindahan perlu dilaksanakan atas faktor keselamatan.

“Walaupun jumlah mangsa masih sedikit, namun pihak sekretariat memandang serius musibah melanda.

“Pusat pemindahan sementara di SK Sebat kini menempatkan 10 keluarga dengan 42 mangsa, manakala Balai Raya Kampung Sebat Dayak membabitkan dua keluarga dengan sembilan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi pemantauan pihak penguat kuasa sentiasa dilakukan demi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan amaran hujan lebat bagi beberapa kawasan di selatan dan tengah Sarawak yang dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Musibah banjir dalam skala besar kebiasaannya di Sarawak berlaku jika hujan lebat bertembung dengan air pasang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:16 PM