MANGSA patah kedua kaki. FOTO ihsan polis
MANGSA patah kedua kaki. FOTO ihsan polis
Nur Saliawati Salberi


REMAJA lelaki patah kedua kaki selepas motosikal ditunggangnya merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Sungai Petai Permai, semalam.

Kejadian jam 7 malam itu mengakibatkan remaja berusia 15 tahun itu tercampak ke bumbung Honda CRV.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, akibat kemalangan itu remaja lelaki terbabit patah kaki dan dirawat di Hospital Melaka (HM).

Beliau berkata, sebelum kejadian, Honda CRV dipandu wanita berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Cheng menghala ke Taman Sungai Petai Permai manakala remaja terbabit yang menunggang Yamaha LC135 dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati ketika lampu isyarat hijau, Honda CRV yang datang dari arah Cheng membelok ke kanan untuk ke Taman Sungai Petai Permai.

“Motosikal ditunggangnya remaja lelaki berkenaan yang datang dari arah bertentangan merempuh bahagian hadapan Honda CRV terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Arshad berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke HM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Semakan dilakukan turut mendapati remaja lelaki itu tiada lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 8:06 PM