ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan 270 tong mengandungi bahan kimia di pusat pembuangan sampah haram di Kuala Selangor. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan 270 tong mengandungi bahan kimia di pusat pembuangan sampah haram di Kuala Selangor. FOTO Ihsan Bomba
Siraj Mohd Zaini


PENDUDUK di sekitar Kampung Tambak Jawa, di Kuala Selangor, gempar apabila dikejutkan dengan kebakaran dan letupan tong mengandungi bahan kimia di pusat pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan, awal pagi hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan pada 3.29 pagi.

Menurutnya, seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan Kapar kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Lokasi kebakaran di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa dan sebaik tiba di lokasi terdapat sejumlah 270 tong yang berlonggok di kawasan berkenaan.

“Pihak bomba berjaya memadam sepenuhnya kebakaran pada 5.58 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran dan pihaknya masih belum mengetahui jenis kandungan bahan kimia terbabit.

“Bagaimanapun anggota bomba yang memadamkan kebakaran kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital kerana ia membabitkan bahan kimia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 9:48 AM