ANGGOTA bomba membersihkan sisa tumpahan bahan kimia. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membersihkan sisa tumpahan bahan kimia. FOTO Ihsan Bomba
Nur Lela Zulkipli


RAK yang tidak kukuh menyebabkan tumpahan sebanyak 1.5 tan Sodium Hydroxide di sebuah kilang sarung tangan di Taman Perindustrian Meru, Klang, pada 6.15 petang tadi.

Kejadian membabitkan tumpahan 1,050 liter cecair itu turut menyebabkan kira-kira 10 kakitangan kilang berkenaan diarahkan keluar dari premis bangunan atas faktor keselamatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, tumpahan bahan kimia berkenaan mewujudkan bau dan sangat berbahaya jika dihidu secara langsung.

“Tumpahan bahan kimia itu berpunca daripada runtuhan rak besi empat tingkat yang tidak sesuai untuk menyimpan pelbagai tong bahan kimia yang beratnya mencecah hingga 1.5 tan.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6.30 petang, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam dikejarkan ke lokasi membabitkan 13 pegawai dan anggota.

“Apabila tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian, kami dapati ada tumpahan bahan kimia Sodium Hydroxide dalam bentuk cecair,” katanya, hari ini.

Menurut Hafisham, pihaknya masih dalam proses meneutralkan serta pembersihan tumpahan bahan kimia terbabit menggunakan pasir dan dijangka selesai dalam masa beberapa jam.

Beliau berkata, pihaknya pernah menerima aduan berhubung bau bahan kimia berkenaan di sekitar premis kilang berkenaan minggu lalu dan teguran sudah dikemukakan berhubung rak yang digunakan.

“Pihak bomba, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan datang membuat lawatan ke kilang berkenaan pada 2 Oktober lalu atas aduan orang awam.

“Kami menerima aduan ada bau kurang menyenangkan dipercayai berpunca daripada pelepasan bahan kimia di dalam longkang besar di hadapan kilang.

“Malah, ketika melawat kilang itu, kami menegur rak yang digunakan untuk meletakkan tong bahan kimia itu tidak sesuai kerana ia hanya digunakan di pasar raya,” katanya.

Beliau berkata, bahan kimia itu yang bersifat menghakis boleh membahayakan manusia seperti sesak nafas, pengsan atau kematian, selain memberi kesan terhadap kulit jika terdedah terlalu lama.

Bagaimanapun, katanya, insiden itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 9:25 PM