ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran longgokan tong bahan kimia di kawasan lapang di Kampung Tambak Jawa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran longgokan tong bahan kimia di kawasan lapang di Kampung Tambak Jawa. FOTO ihsan Bomba
Siraj Mohd Zaini dan Amirul Aiman Hamsuddin


SEBANYAK 244 tong berisi bahan kimia di tempat pembuangan sampah haram di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor sudah ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Rabu lalu namun tidak sempat dilupuskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ia meletup dan terbakar, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.42 petang 20 November lalu dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Shah Alam turut dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Selepas ujian dan pemeriksaan dijalankan terhadap bahan kimia itu dapati ujian bacaan pH adalah di antara lima hingga ke tujuh serta tidak berbahaya kepada kawasan sekitar.

“HAZMAT menggunakan gasmet untuk bacaan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada kawasan terdedah dengan bahan kimia melalui udara dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Hafisham berkata, kes seterusnya diserahkan kepada JAS untuk tindakan pelupusan bahan berkenaan.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan terdapat dua lokasi pembuangan sisa bahan kimia di sekitar kawasan berkenaan.

Sumber berkata, di lokasi kebakaran awal pagi tadi terdapat 244 tong dan 14 daripadanya didapati tumpah dan bocor manakala di lokasi kedua terdapat 24 tong bahan kimia.

“Jarak di antara kedua-dua lokasi pembuangan sisa terbabit kira-kira 500 meter.

“Jarak penempatan terdekat dengan lokasi terbabit 150 meter hingga 200 meter dan radius bau pula adalah sehingga 200 meter,” katanya.

Dalam kejadian 3.29 pagi itu, 15 anggota bomba dari BBP Kuala Selangor dan Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bagaimanapun, anggota bomba terpaksa menjalani ujian pemeriksaan di Hospital Tanjong Karang (HTK) kerana ia membabitkan kebakaran bahan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 4:37 PM