SOTONG ring yang tular di media sosial. Foto tular
SOTONG ring yang tular di media sosial. Foto tular
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mendapatkan maklumat lengkap daripada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai sotong ring didakwa sebagai dubur atau usus babi yang dijual di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu akan diperhalusi Jakim daripada segi halal sebaik menerima laporan berkenaan.

"Dalam hal penguatkuasaan ini terletak di bidang kuasa KPDNHEP dan Jakim hanya untuk perhalusi betul atau tidak produk dikeluarkan berdasarkan halal atau sebaliknya.

"InsyaAllah, kita akan dapatkan maklumat daripada KPDNHEP dalam masa terdekat. Lagipun isu ini kita baru dapat tahu daripada sebaran di media sosial," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Ar Rahnu BizNita dan penyerahan hadiah Cabutan Kesetiaan Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Awang@Musran Tawil.

Beberapa hari lalu, tular di Facebook mengenai dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.

Melalui hantaran di Facebook, netizen turut meninggalkan komen meragui cop tanda halal yang dicetak di label pembungkusan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 5:31 PM