SEBARAN palsu berkenaan mee segera yang viral di laman sosial.
SEBARAN palsu berkenaan mee segera yang viral di laman sosial.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekali lagi menegaskan mee segera Ramyeon tidak mengandungi bahan meragukan dan pemegang sijil halal Korean Muslim Federation (KMF) yang sah sehingga kini.

Katanya, buat masa ini KMF adalah satu-satunya badan pensijilan halal Korea yang diiktiraf oleh JAKIM.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh mereka (KMF) beberapa bulan lalu, didapati produk mee segera Ramyeon tidak mengandungi bahan meragukan dan pemegang sijil halal (KMF) yang sah sehingga kini.

"KMF mendakwa Syarikat pengeluar patuh dan komited terhadap piawaian prosedur yang ditetapkan, malah pemantauan secara berkala turut dilaksanakan terhadap semua industri di Korea yang diberikan sijil halal oleh KMF,"katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook (FB)nya.

Ini adalah kali ketiga Bahagian Hab Halal JAKIM mengeluarkan kenyataan berhubung viral mee segera Ramyeon yang dikatakan tidak halal, berikutan isu itu sentiasa disebarkan di laman sosial.

Menurutnya, kenyataan itu turut diperkukuhkan dan disokong hasil laporan analisis Jabatan Kimia Malaysia yang mendapati tiada DNA babi dikesan dalam produk itu.

Sehubungan itu, katanya, pengguna dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan.

Malah, pengguna juga boleh menyemak senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf di laman sesawang www.halal.gov.my atau melalui aplikasi telefon pintar MyJakim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 2:36 PM