NOR Azniza dijatuhi hukuman penjara 11 bulan. FOTO  Zatul Iffah Zolkiply
NOR Azniza dijatuhi hukuman penjara 11 bulan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencuri rantai leher dan loket milik ibunya bernilai RM26,000.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nor Azniza Abdul Ghani, 32, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, dia yang tidak bekerja didakwa mencuri rantai dan loket emas milik Nafisah Abdullah, 62, di sebuah rumah di Bukit Besar, jam 8 pagi pada 18 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 380 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa mendapati barang kemas iaitu rantai leher dan loket miliknya hilang.

Mangsa mengesyaki ia diambil tertuduh kerana tertuduh ada masuk ke dalam biliknya kira-kira jam 10 malam pada 17 November lalu untuk bertanya mengenai rantai yang dijanjikan akan dibeli mangsa.

Pada hari kejadian, tertuduh ada memaklumkan kepada seorang ahli keluarganya yang dia mahu melarikan diri kerana mempunyai wang yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 7:44 PM