NUR Nadia (kiri), Nurul Aishah (tengah) dan Wan Mazuwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
NUR Nadia (kiri), Nurul Aishah (tengah) dan Wan Mazuwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


TIGA wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan mencuri beberapa barang kemas bernilai RM14,000 di sebuah kedai emas, bulan lalu.

Tertuduh, Nur Nadia Fauzi, 23; Nurul Aishah Abdul Halim, 23, dan Wan Mazuwan Idayu Mustafa, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa bersama-sama mencuri seutas rantai leher panjang bunga melur, seutas rantai tangan bunga melur, seutas rantai tangan Benson dan sebiji loket kerawang bernilai kira-kira RM14,000 di Kedai Emas Yee Chong (Meor), Jalan Hilir Pasar di sini pada jam 3.45 petang, 24 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad yang mewakili Nur Nadia memohon jaminan dikurangkan.

Nurul Aishah dan Wan Mazuwan Idayu yang tidak diwakili peguam turut mengemukakan rayuan sama.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, dua wanita itu datang ke kedai emas terbabit dan berpura-pura hendak membeli sebentuk cincin tunang.

Selepas peniaga kedai emas itu memberi beberapa utas rantai kepada salah seorang wanita itu untuk dicuba, mereka melarikan diri masuk dengan kereta Perodua Kelisa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 4:19 PM