Nor Hasmidah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merompak rantai leher jirannya. FOTO Syafiq Ambak
Nor Hasmidah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merompak rantai leher jirannya. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas tuduhan merompak rantai leher dan loket milik warga emas yang juga jirannya.

Tertuduh, Nor Hasmidah Ismail, 24, dari Kampung Padang Midin mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak harta milik Fatimah Mohd, 69, iaitu seutas rantai leher emas berloket coklat di hadapan sebuah rumah di Kampung Gong Kiat, pada 6.30 pagi, 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Azman menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang wanita bertindak menyembur racun serangga sebelum melarikan rantai leher dan loket bernilai RM7,000 milik jirannya di Kampung Gong Kiat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 4:47 PM