ANGGOTA Bomba membawa mayat mangsa yang ditemui berdekatan stesen janakuasa elektrik di Port Dickson. FOTO Samadi Ahmad
ANGGOTA Bomba membawa mayat mangsa yang ditemui berdekatan stesen janakuasa elektrik di Port Dickson. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


MAYAT nelayan yang dilaporkan hilang, dua hari lalu ditemui sekumpulan pemancing berdekatan stesen janakuasa elektrik Jimah East Power, Port Dickson, hari ini .

Mangsa, Dol Naik, 67, dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti merawai berhampiran rumah api lama, Pantai Bagan Lalang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sepang, Azrul Faizal Maarif berkata, penemuan mayat mangsa dilaporkan sekumpulan pemancing pada 9.30 pagi dan Pasukan Operasi Menyelamat (SAR) tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Azrul berkata, ketika ditemui mangsa berpakaian seluar pendek dan berbaju biru lengan panjang terapung.

Katanya, pengecaman mayat dilakukan ahli keluarga yang menunggu di Jeti Sirip Biru, Bagan Lalang, sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Banting bagi bedah siasat.

Menurutnya, SAR dimulakan 8 pagi tadi, dianggotai 10 anggota JBPM, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Selangor (6), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APNM) (6), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) (4) dan polis.

Sementara itu anak tiri mangsa, Mohd Amran Abdullah, 45, bersyukur mayat bapanya ditemui dan reda dengan ketentuan Allah SWT.

Katanya, sepanjang dua hari pencarian mereka sekeluarga tidak henti-henti berdoa semoga bapanya ditemui segera.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu, lebih-lebih lagi kepada pihak berkuasa yang bertungkus-lumus mengadakan SAR semenjak hari kejadian lagi,” katanya.

Turut hadir di jeti itu bagi mengenal pasti mangsa adalah isteri arwah, Jariah Mintan dan ahli keluarga.

Dengan penemuan mayat itu, bilik gerakan sementara SAR yang dibuka sejak Jumaat lalu ditutup pada 10.45 pagi.

Berita berkaitan:

  • Nelayan dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 1:27 PM