MAYAT Siti Nuralya diusung untuk dihantar ke Hospital Banting bagi bedah siasat. FOTO Samadi Ahmad.
MAYAT Siti Nuralya diusung untuk dihantar ke Hospital Banting bagi bedah siasat. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


MAYAT kedua tragedi lemas di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang ditemui pada 1.40 tengah hari ini, 300 meter dari tempat dilapor hilang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mayat Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, ditemui nelayan di celah ranting bakau seterusnya memaklumkan kepada petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, mangsa kemudian dibawa naik bomba ke tebing sebelum dihantar ke Hospital Banting bagi bedah siasat.

“Dengan penemuan itu, operasi SAR mangsa lemas di Sungai Sepang tamat dan pusat gerakan ditutup pada 2.20 petang,” katanya ketika ditemui di Sepang, hari ini.

Terdahulu, lebih 50 ahli keluarga dan jiran mangsa menunggu di Jeti Bagan Lalang, namun kelibat kedua orang tuanya tidak kelihatan kerana difahamkan mengurus pengebumian abang Siti Nuralya, Muhammad Hafiz, 14, di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana, Puchong.

Dua beradik itu hanyut dibawa arus selepas tergelincir ketika mandi di muara Sungai Sepang pada 3.30 petang semalam, bersama empat ahli keluarga.

Bagaimanapun, operasi SAR yang digerakkan menemui mayat Muhammad Hafiz pada jarak 150 meter dari tempat dia jatuh, pada 12.40 tengah malam.

SAR itu disertai 63 anggota bomba dan penyelamat, polis, Unit Pengurusan Bencana Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Turut serta komuniti nelayan kawasan itu.

Berita berkaitan

Dua beradik dikhuatiri lemas

[UPDATE] 'Saya sedih dan terkilan...'

Mayat abang ditemui, adik masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 3:47 PM