BOMBA membawa naik mayat mangsa lemas. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membawa naik mayat mangsa lemas. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI yang terjatuh dari bot ketika memancing udang bersama empat rakannya di Sungai Perak berhampiran Dataran Udang Galah, di Teluk Intan Jumaat lalu ditemui lemas pagi, hari ini.

Mayat, Tan Kok Boon, 30, ditemui pada 7 pagi oleh orang awam kira-kira 5 kilometer (km) dari lokasi dilaporkan terjatuh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, susulan penemuan mangsa operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak kehilangan lelaki terbabit dilaporkan, ditamatkan 9.30 pagi hari ini.

“SAR dijalankan selepas menerima maklumat kejadian pada 6.42 petang Jumaat lalu membabitkan sembilan anggota bomba serta dua anjing pengsan (K9) dengan menggunakan dua bot melalui kaedah pencarian di permukaan air.

“Operasi turut disertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pencarian merangkumi jarak 7km dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh, dan pada 7 pagi hari ini mangsa berjaya ditemui orang awam.

“Bomba kemudian bertindak menaikkan mangsa ke tebing dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi diketuai Mohd Azroisan Wahab itu ditamatkan 9.30 pagi hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 11:44 AM