SEBAHAGIAN PATI yang ditahan, semalam.
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan, semalam.
Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Terkial-kial membuka pintu dalam keadaan mengantuk sebelum ditahan pihak berkuasa.

Itu antara gelagat beratus warga asing yang ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di penempatan haram di Jalan Klang Lama, di sini, semalam.

Difahamkan lokasi itu menjadi kediaman ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara sejak sekian lama.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, kebanyakan PATI lena sebelum terkejut apabila pintu rumah diketuk anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Serbuan mengejut itu menyebabkan kebanyakan PATI tidak sempat melarikan diri berikutan kawasan berkenaan sudah dikepung.

Beberapa warga asing yang cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di bawah katil dan di dalam almari turut diberkas.

Penolong Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Sharulnizam Ismail berkata, 250 warga asing diperiksa dan 78 daripadanya didapati tinggal di negara ini secara haram.

Katanya, individu ditahan membabitkan 36 warga Indonesia termasuk sembilan wanita, 13 warga Nepal selain 29 lagi adalah Bangladesh.

“Semua yang ditahan dihantar ke Depoh Jabatan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) kerana gagal mengemukakan dokumen serta dokumen tamat tempoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:40 AM