GAMBAR kenangan Mohd Alfishahrin dan Diana ketika tiba di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, pada 31 Ogos 2017. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR kenangan Mohd Alfishahrin dan Diana ketika tiba di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, pada 31 Ogos 2017. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hilmie Hussin


SELEPAS berjaya dalam dua jelajah ‘Kapcaipackers’ dari Selangor ke London dan Russia, Mohd Alfishahrin Zakaria, 33, bersama isteri Diana Latief, 32, meneruskan penjelajahan mereka ke serata dunia.

Pasangan terbabit yang akan menunggang motosikal Honda RS150 kali ini bersama-sama seorang bapa dan anak, Nursulhi Rahim, 42, dan Muhammad Aidil Nursulhi, 14, yang menyertai jelajah dalam ‘Road For Ummah’ ke Syria.

Nursulhi dan Aidil akan menaiki kereta Perodua Kelisa mengiringi Mohd Alfishahrin dan Diana, merentasi 57 negara dalam perjalanan ke Syria.

Misi utama empat individu ini adalah menyertai pasukan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyampaikan bantuan dalam empat misi bantuan ke Lubnan, Syria dan Jordan yang dijangka menghadapi musim sejuk terburuk tahun ini.

“Perjalanan akan bermula Isnin ini, namun saya dan isteri akan menaiki kereta bersama-sama Nursulhi dan Aidil terlebih dahulu, kerana motosikal saya ketika ini berada di Republik Czech.

“Apabila tiba di Turki, saya akan menaiki penerbangan ke Republik Czech untuk mengambil motosikal saya dan akan menunggang ke Turki untuk kami bersama-sama meneruskan misi ke Syria,” kata Mohd Alfishahrin.

Menurut Mohd Alfishahrin, pelbagai keperluan menghadapi perjalanan dalam cuaca sejuk melampau sudah dilakukan, terutama pakaian yang sesuai untuk dia dan isterinya yang menggunakan motosikal.

AHMAD Sani (kanan)  melepaskan peserta Road For Ummah, Mohd Alfishahrin, Diana, Nursulhi dan Muhammad Aidil bersama konvoi pengiring.  FOTO Mohd Yusni Ariffin
AHMAD Sani (kanan) melepaskan peserta Road For Ummah, Mohd Alfishahrin, Diana, Nursulhi dan Muhammad Aidil bersama konvoi pengiring. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, pihaknya sentiasa menyokong gerakan kerja yang meletakkan kepentingan ummah dan sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia menjelajah ke seluruh dunia.

“Saya teruja melihat mereka sentiasa mencari jalan utuk sampaikan kebaikan dalam versi mereka sendiri.

“Seperti Mohd Alfishahrin, menggunakan kapchai untuk menyampaikan kebaikan ke serata dunia dan kali ini menjelajah 57 negara yang dijangka mengambil masa sehingga 12 bulan.

“Saya nak anak muda khususnya yang meminati kapchai, anda juga boleh membantu masyarakat seluruh dunia mengikut cara anda sendiri,” katanya.

Dr Ahmad Sani berkata demikian selepas melepaskan peserta konvoi ‘Road For Ummah 2019’ di Wisma MAPIM di Kuala Lumpur, hari ini.

Gimik pelepasan itu membabitkan kira-kira 30 pengiring bermotosikal yang akan mengiringi empat penjelajah ke sempadan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 3:27 PM