PENDUDUK menggunakan satu lif saja kerana  lif kedua rosak  lebih dua bulan.
PENDUDUK menggunakan satu lif saja kerana lif kedua rosak lebih dua bulan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlu tunggu setengah jam untuk naik ke tingkat atas.

Itu situasi perit perlu dilalui lebih 1,000 penduduk di Blok D, Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, di sini, apabila satu lif di situ rosak sejak dua bulan lalu.

Lebih memeritkan lagi, penduduk pangsapuri setinggi 18 tingkat itu kini hanya bergantung kepada sebuah lif saja untuk naik ke kediaman masing-masing, sekali gus menyukarkan mereka menjalankan urusan seharian.

Tinjauan Harian Metro di pangsapuri berkenaan mendapati dakwaan penduduk berkaitan masalah yang membelenggu mereka itu ternyata benar, malah lif terbabit sesak terutama pada waktu puncak apabila orang ramai mula pulang dari kerja.

Penduduk pangsapuri berkenaan juga sudah membuat aduan kepada pihak pengurusan, namun mereka memberikan alasan tidak munasabah dan meminta bersabar sehingga masalah terbabit diselesaikan.

Pesara kerajaan, Jamil Husin, 61, berkata, masalah lif sering berlaku di kawasan pangsapuri berkenaan hingga mengganggu rutin penduduk untuk menyelesaikan urusan seharian.

Husin berkata, dia mengelak menggunakan kemudahan berkenaan pada waktu puncak kerana membuang masa, selain berebut dengan orang lain untuk pulang ke kediaman masing-masing.

“Lif terbabit sebelum ini rosak beberapa kali, namun dalam tempoh seminggu dibaiki dan terbaru, pihak pengurusan seolah-olah lepas tangan dan membiarkannya tanpa membaiki.

“Kami bimbang ia menimbulkan masalah kepada pesakit kronik atau warga emas yang perlu ke klinik untuk menjalani pemeriksaan berikutan menunggu lif dalam tempoh lama,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Osman Hashim, 65, pula berkata, kebiasaannya dia perlu turun dua jam awal untuk ke surau berhampiran bagi menunaikan solat Maghrib.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan Hashim Saad berkata, masalah berkenaan sudah diadukan kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada lagi tindakan susulan diambil oleh mereka untuk membaiki lif yang rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 6:25 AM