Mohd Aizat Shamsuddin


PERBUATAN sekumpulan nelayan asing bermain mercun dipercayai menjadi punca pusat jualan minyak di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, Kuala Terengganu, musnah terbakar.

Pusat jualan minyak milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang dan Kuala Terengganu Selatan di pelabuhan itu musnah dalam kebakaran, 2.45 petang hari ini.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan sekumpulan nelayan asing bermain mercun berhampiran pusat jualan minyak terbabit ketika berlabuh di pelabuhan berkenaan untuk mengisi diesel.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3 petang dan satu jentera dan lori tangki air dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran, api sedang marak dan kebakaran sudah merebak ke saluran paip minyak menyebabkan jentera dari BBP Marang dipanggil untuk bantuan.

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di pusat jualan minyak PNK Marang dan Kuala Terengganu Selatan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di pusat jualan minyak PNK Marang dan Kuala Terengganu Selatan. FOTO Ihsan Bomba

“Ketika kerja pemadaman api dilakukan, dua letupan berlaku disebabkan wap panas dan saluran paip minyak yang meletup.

“Tindakan pantas bomba juga menyelamatkan kira-kira 40,000 liter minyak diesel dalam dua tangki simpanan induk yang boleh menyebabkan kebakaran lebih besar berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rozizah berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata, kebakaran pusat jualan minyak PNK Marang dan Kuala Terengganu Selatan itu akan menjejaskan kira-kira 1,600 nelayan Kuala Terengganu dan Marang.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan segera supaya nelayan boleh mendapatkan bekalan minyak diesel dan dapat turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Kita boleh jangkakan pendaratan ikan akan kurang dalam masa terdekat ini kerana nelayan tidak dapat ke laut seterusnya menjejaskan pendapatan nelayan ketika menghampiri musim tengkujuh ini.

“Setakat ini, nilai kerugian belum dapat dipastikan, namun kejadian ini memusnahkan pusat jualan minyak dan bangunan yang menempatkan kilang air batu,” katanya.

Ditanya mengenai punca kejadian disebabkan perbuatan nelayan asing bermain mercun di kawasan terbabit, Tengku Mohd Anuar berkata, pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kumpulan nelayan terbabit.

“Kita sudah mendapatkan nombor pendaftaran bot terbabit dan akan menyiasat seterusnya mengambil tindakan sekiranya benar kejadian kebakaran ini berlaku seperti didakwa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 7:46 PM